Jangan malas untuk memulakan langkah, nanti kejayaan pula yang akan malas untuk menjadi temanmu. Niatkan segalanya kerana Allah. Dan sesungguhnya Allah melihat kepada usaha, bukannya pada keputusan ataupun natijah.
PLEASE BEAR IN MIND THAT THESE REVIEWS ARE ONLY MY POINT OF VIEW. IT HAS NOTHING TO DO WITH ANYTHING OR ANY MEANS OF OFFENDING ANYBODY. :)

Sunday, December 27, 2009

Sesejuk Maaf di Kalbu

Bismillahirrahman nir rahim
Novel terbitan Telaga Biru Sdn.Bhd hasil nukilan Nor Atiqah Ghazali siap aku baca dalam masa dua-tiga hari. Novel ini tidaklah tebal,hanya 214 muka surat semuanya (tidak termasuk kulit).

Tema yang dibawakan oleh novel Sesejuk Maaf di Kalbu ini membawa konsep ‘kemaafan’ seperti yang ditonjolkan pada judulnya itu. Tidak perlu belek dalam-dalam, di kulit depan novel ini saja sudah terter dengan jelas mesej yang ingin disampaikan melalui kata-kata;
”Api yang marak boleh padam dengan sejuknya air. Dendam yang marak, apa pula pemadamnya? Padamkanlah ia dengan sejuknya maaf…”

Novel ini berkisar tentang kisah 3 orang sahabat yang sudah memulakan tali persahabatan mereka seawal di tadika (umur 5 tahun) lagi. Masing-masing mempunyai latar keluarga yang berbeza. Fazli dengan ibubapanya sibuk memanjang sehingga anak tunggal itu berasa sangat kesunyian kerana hanya bertemankan orang gaji dan nenek di rumah besar keluarganya. Amirul pula satu-satunya anak lelaki daripada 3 beradik. Ibubapanya bercerai; bapanya berkhawin lagi manakala ibunya pula sakit mental. Terakhir adalah Shukri yang dijaga oleh ibunya tanpa belaian kasih sayang seorang ayah.

Antara intipati yang aku dapat melalui novel ini;
1) kemaafan,seperti yang telah aku katakan di awal entri ini. Segala keburukan yang kita terima daripada orang lain, jika disimpan dalam hati sebagai dendam bukanlah penyelesaian yang terbaik. Jika dendam itu mengheret kita untuk melakukan kejahatan/kemungkaran untuk membalas dendam, yang benar-benar rugi adalah kita sendiri.Bukannya orang yang didendam itu. Bahkan mungkin langsung tiada kesannya pada orang yang didendami itu. Sedangkan jika kita susuri sirah Nabi SAW. Baginda seorang yang sangat pemaaf. Tidak pernah Baginda membalas kejahatan dengan kejahatan, malah dibalasnya dengan kebaikan. Sebab itulah memaafkan kesilapan orang lain itu lebih baik dan biarlah Allah saja yang menentukan balasan terhadap orang yang membuat salah itu. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Keseluruhan kisah 3 sekawan itu adalah mengenai kemaafan dan jika ingin tahu kisahnya, baca novel ini. 
2) peranan dan pengaruh keluarga terutamanya ibu bapa dalam mencorakkan kehidupan anak-anak mereka pada masa hadapan.
Apa saja tindak-tanduk ibubapa pasti akan memberi pengaruh pada si anak. Contohnya dalam novel ini; Semasa berada di alam tadika,Shukri hairan mengapa dia tidak mempunyai seorang ayah seperti kawan-kawannya yang lain. Maka, dia pun bertanya kepada ibunya. Ibunya,Pn. Mashitah tidak sanggup untuk memberitahu perkara sebenar kerana anak kecil itu belum mengerti erti perceraian ,lebih-lebih lagi bila ayah Shukri tidak pernah langsung menjenguk anak-anaknya selepas perceraian mereka. Pn. Mashitah hanya memberitahu anak sulungnya itu bahawa ayahnya sudah meninggal dunia. Namun, ketika di darjah satu Shukri mendapat tahu perkara sebenar bahawa ayahnya masih hidup dan ibubapanya sudah bercerai. Shukri jatuh sakit dan lemah semangat untuk pergi ke sekolah mahupun membuat apa-apa kerana benar-benar mengharapkan kehadiran ayahnya. Apabila menyedari betapa peritnya derita dan utuhnya ketabahan hati ibunya dalam menghadapi cabaran hidup bersama anak-anaknya, perasaan Shukri terbelai dan akhirnya dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh untuk membalas segala pengorbanan ibunya. Hasilnya dia berjaya menjadi pelajar terbaik UPSR walaupun sudah ketinggalan.
3) Persahabatan yang terindah itu adalah atas dasar keimanan dan kerana Allah. Melalui persahabatan 3 sekawan dalam kisah ini, aku dapat menilai betapa bezanya outcome atau natijah persahabatan tika disandarkan pada sifat saling bergantung antara satu sama lain dan bila disandarkan atas dasar cintakan sahabat kerana Allah. Kerana Allah jualah yang memegang hati-hati manusia. Dalam kisah ini, biarpun 3 sekawan itu memang diketahui akrab, di pertengahannya terpisah jua mereka. Namun disebabkan keimanan dan cinta kepada sahabat karib mereka kerana Allah, mereka disatukan kembali biarpun seketika.
4) Pentingnya sumber pendapatan,makan minum kita. Sebagai Islam, itu semua perlu dititikberatkan. Masakan tidak, sumber yang tidak halal akan menggelapkan hati. Seperti yang terjadi kepada Amirul yang mana kakaknya menyara dia dan adik perempuannya dengan wang haram. Bagi Noraini, kakak Amirul, itu semua ditepis jauh kerana yang penting baginya setelah perceraian ibubapa mereka adalah menyara kehidupan adik-adiknya dengan wang. Akhirnya, adik-adiknya bukan sahaja kurang belajar tetapi lebih dekat dengan kebatilan dunia.

Novel ini memang seronok dibaca. Bersyukur sangat-sangat sebab berpeluang membaca novel ini,memang tidak rugi. Aku sangat recommend sahabat-sahabat pembaca sekalian yang meminati novel / novel Islamik, bacalah Sesejuk Maaf di Kalbu ini. insyaAllah, boleh bersama-sama ‘menceduk’ mesej muhasabah diri yang ada dalam novel ini.

wallahu ahlam.

No comments:

Post a Comment