Jangan malas untuk memulakan langkah, nanti kejayaan pula yang akan malas untuk menjadi temanmu. Niatkan segalanya kerana Allah. Dan sesungguhnya Allah melihat kepada usaha, bukannya pada keputusan ataupun natijah.
PLEASE BEAR IN MIND THAT THESE REVIEWS ARE ONLY MY POINT OF VIEW. IT HAS NOTHING TO DO WITH ANYTHING OR ANY MEANS OF OFFENDING ANYBODY. :)

Sunday, December 27, 2009

Sesejuk Maaf di Kalbu

Bismillahirrahman nir rahim
Novel terbitan Telaga Biru Sdn.Bhd hasil nukilan Nor Atiqah Ghazali siap aku baca dalam masa dua-tiga hari. Novel ini tidaklah tebal,hanya 214 muka surat semuanya (tidak termasuk kulit).

Tema yang dibawakan oleh novel Sesejuk Maaf di Kalbu ini membawa konsep ‘kemaafan’ seperti yang ditonjolkan pada judulnya itu. Tidak perlu belek dalam-dalam, di kulit depan novel ini saja sudah terter dengan jelas mesej yang ingin disampaikan melalui kata-kata;
”Api yang marak boleh padam dengan sejuknya air. Dendam yang marak, apa pula pemadamnya? Padamkanlah ia dengan sejuknya maaf…”

Novel ini berkisar tentang kisah 3 orang sahabat yang sudah memulakan tali persahabatan mereka seawal di tadika (umur 5 tahun) lagi. Masing-masing mempunyai latar keluarga yang berbeza. Fazli dengan ibubapanya sibuk memanjang sehingga anak tunggal itu berasa sangat kesunyian kerana hanya bertemankan orang gaji dan nenek di rumah besar keluarganya. Amirul pula satu-satunya anak lelaki daripada 3 beradik. Ibubapanya bercerai; bapanya berkhawin lagi manakala ibunya pula sakit mental. Terakhir adalah Shukri yang dijaga oleh ibunya tanpa belaian kasih sayang seorang ayah.

Antara intipati yang aku dapat melalui novel ini;
1) kemaafan,seperti yang telah aku katakan di awal entri ini. Segala keburukan yang kita terima daripada orang lain, jika disimpan dalam hati sebagai dendam bukanlah penyelesaian yang terbaik. Jika dendam itu mengheret kita untuk melakukan kejahatan/kemungkaran untuk membalas dendam, yang benar-benar rugi adalah kita sendiri.Bukannya orang yang didendam itu. Bahkan mungkin langsung tiada kesannya pada orang yang didendami itu. Sedangkan jika kita susuri sirah Nabi SAW. Baginda seorang yang sangat pemaaf. Tidak pernah Baginda membalas kejahatan dengan kejahatan, malah dibalasnya dengan kebaikan. Sebab itulah memaafkan kesilapan orang lain itu lebih baik dan biarlah Allah saja yang menentukan balasan terhadap orang yang membuat salah itu. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Keseluruhan kisah 3 sekawan itu adalah mengenai kemaafan dan jika ingin tahu kisahnya, baca novel ini. 
2) peranan dan pengaruh keluarga terutamanya ibu bapa dalam mencorakkan kehidupan anak-anak mereka pada masa hadapan.
Apa saja tindak-tanduk ibubapa pasti akan memberi pengaruh pada si anak. Contohnya dalam novel ini; Semasa berada di alam tadika,Shukri hairan mengapa dia tidak mempunyai seorang ayah seperti kawan-kawannya yang lain. Maka, dia pun bertanya kepada ibunya. Ibunya,Pn. Mashitah tidak sanggup untuk memberitahu perkara sebenar kerana anak kecil itu belum mengerti erti perceraian ,lebih-lebih lagi bila ayah Shukri tidak pernah langsung menjenguk anak-anaknya selepas perceraian mereka. Pn. Mashitah hanya memberitahu anak sulungnya itu bahawa ayahnya sudah meninggal dunia. Namun, ketika di darjah satu Shukri mendapat tahu perkara sebenar bahawa ayahnya masih hidup dan ibubapanya sudah bercerai. Shukri jatuh sakit dan lemah semangat untuk pergi ke sekolah mahupun membuat apa-apa kerana benar-benar mengharapkan kehadiran ayahnya. Apabila menyedari betapa peritnya derita dan utuhnya ketabahan hati ibunya dalam menghadapi cabaran hidup bersama anak-anaknya, perasaan Shukri terbelai dan akhirnya dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh untuk membalas segala pengorbanan ibunya. Hasilnya dia berjaya menjadi pelajar terbaik UPSR walaupun sudah ketinggalan.
3) Persahabatan yang terindah itu adalah atas dasar keimanan dan kerana Allah. Melalui persahabatan 3 sekawan dalam kisah ini, aku dapat menilai betapa bezanya outcome atau natijah persahabatan tika disandarkan pada sifat saling bergantung antara satu sama lain dan bila disandarkan atas dasar cintakan sahabat kerana Allah. Kerana Allah jualah yang memegang hati-hati manusia. Dalam kisah ini, biarpun 3 sekawan itu memang diketahui akrab, di pertengahannya terpisah jua mereka. Namun disebabkan keimanan dan cinta kepada sahabat karib mereka kerana Allah, mereka disatukan kembali biarpun seketika.
4) Pentingnya sumber pendapatan,makan minum kita. Sebagai Islam, itu semua perlu dititikberatkan. Masakan tidak, sumber yang tidak halal akan menggelapkan hati. Seperti yang terjadi kepada Amirul yang mana kakaknya menyara dia dan adik perempuannya dengan wang haram. Bagi Noraini, kakak Amirul, itu semua ditepis jauh kerana yang penting baginya setelah perceraian ibubapa mereka adalah menyara kehidupan adik-adiknya dengan wang. Akhirnya, adik-adiknya bukan sahaja kurang belajar tetapi lebih dekat dengan kebatilan dunia.

Novel ini memang seronok dibaca. Bersyukur sangat-sangat sebab berpeluang membaca novel ini,memang tidak rugi. Aku sangat recommend sahabat-sahabat pembaca sekalian yang meminati novel / novel Islamik, bacalah Sesejuk Maaf di Kalbu ini. insyaAllah, boleh bersama-sama ‘menceduk’ mesej muhasabah diri yang ada dalam novel ini.

wallahu ahlam.

Tuesday, December 22, 2009

Jatuhnya Sebuah Tamadun

Bismillahirrahman nir rahim.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana berjaya juga aku habis membaca buku berjudul “Jatuhnya Sebuah Tamadun – Menyingkap sejarah kegemilangan dan kehancuran Empayar Khalifah Islam” hasil penulisan Mohammad Nurhakim, seorang pensyarah di Universitas Muhammadiah Malang (UMM), Jawa Timur, Indonesia. Buku sejarah khalifah Islam ini adalah terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Pertama kali aku mengenai buku ini adalah sewaktu berbuka puasa bersama Pengetua Kolej Kediaman E yang baru iaitu Dr.Andika Aziz. Buka puasa Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman itu dibiayai oleh Unit Perumahan (3P) Universiti sebagai langkah ramah mesra kepala pentadbiran kolej di peringkat HEP dan mahasiswa. Pada masa itu, Dr. Andika datang dengan santainya dan memegang sebuah buku. Buku itu memang menarik perhatian aku hinggakan aku memberanikan diri untuk meminjam buku itu sebentar darinya. Tika dalam perjalanan bersama-sama Pengetua dan ahli JAKMAS yang lain masuk ke restoran yang ditempah oleh pihak Unit 3P, aku leka membelek-belek buku tersebut dan mula membaca sedikit demi sedikit ilmu di dalam buku itu. Tentu sekali, buku itu tidak lain tidak bukan; buku “Jatuhnya Sebuah Tamadun”.

Sedikit saja yang aku dapat baca semasa berbuka puasa dengan pengetua itu,sebab pengetua sendiri pun belum membacanya dan ternyata buku itu baru dibelinya juga. Dia juga sendiri mengesyorkan buku itu kepada kami.

Buku ini bukanlah seperti buku sejarah yang biasa. *Ehem* Aku memang meminati sejarah, jadi tiada masalah bagi aku membaca buku-buku sejarah. Lebih-lebih lagi yang punya banyak info dan input menarik mengenai sesuatu tamadun.
Tamadun Islam yang dicatatkan dalam buku ini bermula dengan zaman jahiliah ataupun zaman pra-Islam bangsa Arab sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW lagi. Kemudian Rasulullah SAW sebagai perintis peradaban Islam.Catatannya ringkas, agak mudah difahami. Tapi tidaklah sebanyak input seperti sirah-sirah Nabi. (Sebabnya ini bukan buku sirah Nabi...) Selepas itu, disusuri lagi perkembangan tamadun Islam ke kepimpinan Khulafa Al-Rasyidin. Dan seterusnya Muawiyah yang memulakan kerajaan Bani Umaiyah hinggalah kepada peradaban Islam di Nusantara yang memfokuskan Indonesia selaku negara Islam terbesar di Nusantara ini. Sepanjang menyusuri sejarah-sejarah bangun dan jatuhnya sesebuah kerajaan Islam di dunia, bukan sahaja kerajaan besar (kerajaan Bani Umaiyah, kerajaan Bani Abbasiah) yang ditonjolkan; tetapi juga kerajaan-kerajaan kecil yang turut sama menyumbang kepada perkembangan tamadun Islam di dunia.

Seperti yang dinasihatkan oleh Nik Syuhadah, salah seorang sahabat semasa dia memberikan tazkirah ringkas bagi muslimat di Surau Nur E-man sebelum cuti yang lalu, katanya,”Bacalah mukadimah (pendahuluan) sesebuah buku sebelum membaca isi kandungannya”. Emm,macam tulah yang dia kata walaupun mungkin bukanlah yang tepat sangat ayat tu. Jadi, apa yang aku dapati dari mukadimah buku ini agak menarik dan aku ingin kongsikan di sini (juga sebagai muhasabah diri untuk kita semua).

Berdasarkan penelitian ilmuwan Barat seperti W. Montgomery Watt, Marshall G.S. Hodgson dan John Obert Voll, mereka menyimpulkan, umat Islam gigih dan berdaya saing kerana mereka sedar pada misi ketuhanan. Keindahan Islam terbukti apabila umatnya boleh mengamalkan ajaran-ajaran normatif sebagai kerja-kerja konkrit dalam kehidupan harian. Bagi umat Islam, nilai-nilai ketuhanan perlu dipraktikkan sebaik mungkin bagi mewarnai perjalanan peradaban manusia. Kesedaran ini menjadikan umat Islam lebih bermotivasi dalam melakukan peranan-peranan sosial sepanjang sejarah.
Kesedaran pada nilai-nilai ketuhanan ini membentuk jati diri umat Islam supaya sentiasa bersikap positif, aktif dan kreatif pada cabaran dunia dan manusia.


Melalui apa yang tercatat, ternyata kejayaan kerajaan Khalifah Islamiyyah sebelum ini adalah dengan adanya penekanan dalam aspek akidah. Juga pemahaman mengenai ‘tujuan penciptaan manusia’ yakni menjadi khalifah dan hamba Allah di muka bumi ini.
Ada kata-kata seperti “Sejarah akan terus berulang sekiranya tidak dipelajari dan diperbaiki”, maksudnya hampir-hampir sebegitulah. Aku pun sudah lupa ayat yang tepat sebab sudah agak lama. Apa yang ingin aku katakan di sini adalah, kita bukan sahaja perlu tahu faktor kejayaan yang menjulang tamadun Islam di dunia tetapi juga faktor kegagalan yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Islam. Hal ini demikian akan dapat membantu kita, generasi pelapis, agar tidak mengulang kesilapan yang sama dan perbaiki segala kekurangan yang ada supaya Islam dapat ditegakkan di dunia ini.
Dalam buku ini ada dinyatakan faktor-faktor yang menyumbang kepada kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam samada besar mahupun yang kecil dan antaranya adalah khalifah/sultan/pemerintah yang memerintah semakin lalai dan alpa dengan kemewahan yang dikecapi, perebutan kuasa antara ahli istana (yang mana sistem pemilihan khalifah adalah sistem monarki tetapi tidak ditetapkan terus anak sahaja. bermakna saudara/adik-beradik kepada khalifah yang akan diganti juga boleh menaiki takhta.), juga faktor luaran seperti ancaman Eropah (ada yang berlaku ketika Perang Salib) dan macam-macam lagi. Mahu tahu, bacalah buku ini.

Menarik juga dalam buku ini adalah sumbangan kerajaan-kerajaan Islam dahulu kepada peradaban Islam. Antaranya dalam bidang ilmu, seni, politik, agama dan sebagainya. Tokoh-tokoh dari pelbagai bidang juga dicatatkan. Sesungguhnya kita sebagai umat Islam kini seharusnya bangga dan tekad untuk meneruskan usaha-usaha umat Islam terdahulu dalam mengembangkan peradaban Islam dalam pelbagai bidang. Kita seharusnya sedar bahawa sebelum adanya para cendekiawan Barat seperti yang selalu tertera dalam buku-buku teks akademik (lebih-lebih lagi rujukan kita di peringkat universiti), para cendekiawan Islam sudah terlebih dahulu mempunyai ilmu-ilmu tersebut (dalam bidang kimia, arkitek, perubatan, sains, astronomi dan lain-lain). Contohnya dalam bidang fizik, adanya al-Bairuni yang mengatakan bumi berputar pada paksinya, sebelum pendapat itu dikemukan oleh Galileo (padahal,sekarang lebih ramai yang mengagumi Galileo bukan?). Antara tokoh dalam politik/kepimpinan pula adalah Khalifah Ismail bin Ahmad dari kerajaan Samani yang berjaya menjadikan kerajaannya sebagai salah satu kerajaan Islam kecil yang kuat. Dalam buku ini, dinyatakan bahawa Ibn Athir menggambarkan beliau sebagai seorang pemerintah yang cerdas, adil, bijaksana dan lemah lembut pada rakyat. Sifat-sifat yang disebut itu perlulah ada pada pemimpin-pemimpin yang akan memimpin ummah mahupun pemimpin yang akan dipilih untuk memimpin ummah.
Oh,ya.. yang aku suka pada buku ini adalah Tip-tip Memahami Sejarah Islam yang ada pada buku ini. Tip-tip tersebut diletakkan pada muka surat selepas Pendahuluan. Bagi aku, ianya sangat membantu aku untuk memahami sesuatu kejadian yang berlaku dalam sejarah dengan lebih baik.
Antara pembaikan yang aku harapkan pada buku ini adalah dari segi typing error-nya. Juga dari segi susunan penulisannya. Input yang ada dalam buku ini sangat berguna dan sangat best, bila susunan ada yang kurang baik dan ada masalah typo (kesalahan menaip), jadi kepala jadi agak pening dan bingung dan mungkin kalau orang yang membaca pula memang kurang minat sejarah..tidak mahu pula membaca buku ini nanti. Rugi!
Apa-apa pun, buku ini memang patut dibaca oleh umat Islam agar kita lebih sedar dan berusaha untuk meningkatkan peradaban Islam pada masa kini dan hadapan. Bukannya sekadar dianggap terroris, boneka mahupun umat yang mundur.
Mohon maaf kalau ada tersalah bahasa atau apa-apa kesilapan lain. Moga kita dapat manfaat dan hikmah ilmu-ilmu Allah di dunia ini bersama-sama untuk kesejatheraan di Akhirat sana.

Wallahu ahlam bissowab.